CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, 20 July 2012

kepentingan sejarah

bismillahirrahmanirahim . ni karangan bahasa melayu fara .fara mintak sesiapa yang pro bm ni , cikgu2 bm , tlg tegur kekurangan fara kay . tolong fara .fara na spm :)


   Pepatah inggeris  mengatakan pengalaman merupakan guru terbaik .Hal ini membuktikan mengapa kerajaan Malaysia mewajibkan semua pelajar di Malaysia mempelajari matapelajaran sejarah tanpa mengira bangsa dan kaum .Secara analoginya , sejarah boleh dedifinisikan sebagai perkara lampau atau perkara yang terjadi terhadap sesuatu bangsa merangkumi peristiwa , masa dan tempat .Sudah terang lagi bersuluh sejarah merupakan batu asas kepada pembentukan sesebuah bangsa bersesuaian dengan kata-kata  CollingWood “ sejarah mempunyai hubungan dan pengaruh secara langsung dengan masa kini “ .Sejarah merupakan panduan kepada sesuatu bangsa supaya tidak mengulangi sejarah lalu dan mencipta keayaan yang lebih gemilang. Melalui sejarah, kita dapat mempelajari kejayaan bangsa dan negara seperti zaman keemasan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 yang boleh dijadikan perangsang untuk memacu kemajuan negara. Tidak dapat dinafikan, pembentukan negara Malaysia pada hari ini bertitik-tolak daripada kewujudan Kerajaan Melayu Melaka yang telah diasaskan oleh Parameswara.Persoalannya mengapa sejarah dikatakan sebagai batu asas pembentukan sesebuah bangsa ? mengapa sejarah penting untuk dipelajari ?

     George Santayana pernah berkata “ sesiapa yang tidak mempelajari sejarah , akan mengulangi kesilapan yang sama “ .Justeru , inisiatif kerajaan mewajibkan pengambilan subjek sejarah bagi semua pelajar ternyata mempunyai alasan konkrit yang akan membawa impak besar terhadap pembangunan negara.Para belia sudah terang lagi bersuluh merupakan delegasi yang bakal memegang tampuk pimpinan negara .Apa akan jadi sekiranya Negara Malaysia ditadbir oleh para pentadbir yang buta sejarah ?mungkinkah peristiwa penjajahan jepun pada tahun 1945 akan berulang kembali ? mahukah kita melihat maruah negara kita sekali lagi diinjak tanpa belas oleh para imperialis yang tidak berperikemanusiaan ? segalanya mungkin sekiranya matapelajaran sejarah sejarah dipandang enteng dah tidak dititikberatkan.Sejarah bukan sahaja mengajar kita supaya tidak mengulangi kesilapan lalu , malah sejarah juga ternyata membolehkan kita memperingati kejayaan dan kegemilangan masa silam yang mana Bahasa Melayu menjadi lingua franca dalam kalangan para pedagang.Malahan pelabuhan Melaka juga merupakan pelabuhan bertaraf dunia dengan kemudahan dan kelebihan unsur semulajadi yang tiada tolok bandingnya.Jika adanya kesedaran , keringat para pemimpin dan rakyat , keagungan itu tidak mustahil boleh kita cipta sekali lagi atau mungkin lebih cemerlang.Malaysia kini merupakan salah satu negara membangun yang megah di pentas dunia.Dengan kesedaran tentang sejarah lalu , dan kebijaksanaan mengambil iktibar , tidak mustahil kita mampu mengulangi kegemilangan kesultanan melayu Melaka pada abad ke-15 .

     Selain menjadi iktibar dan memberi pengajaran , sejarah juga mampu mencetuskan rasa cinta akan Negara atau lebih tepat lagi semangat patriotisme.Seperti yang kita maklum , sejak di tingkatan dua , para pelajar di Malaysia didedahkan dengan cerita-cerita para pejuang yang nyata memaparkan unsur didaktik.Mereka mula mengetahui bagaimana peritnya pejuang-pejuang lampau berjuang mati matian hingga ke titisan darah terakhir demi menghalau para penjajah durjana.Tok Janggut misalnya , seorang pejuang dari negeri Kelantan ternyata berjuang habis-habisan menentang Inggeris yang ketika itu menjajah Tanah Melayu malangnya Tok Janggut tewas , dia dibunuh dan mayatnya digantung di sebuah pasar di Kota Bharu.Walaupun tewas , keberanian Tok Janggut menentang pihak British ternyata patut diberi penghormatan.Semangat patriotisme ini pasti muncul sekiranya kita mengenali siapa diri kita , asal usul diri kita dan sejarah disebalik bangsa kita.Tanpa semangat ini , maruah negara kita boleh tercalar apabila lahirnya warganegara yang buta sejarah dan tiada rasa sayang terhadap negara dan sanggup menjual dan menggadai maruah Negara seperti terlibat dengan aktiviti menyeludup pendatang asing.Justeru , ternyata sejarah merupakan elemen penting bagi memupuk rasa cinta pada negara.

      Di samping memberi iktibar dan memupuk semangat cinta akan negara , sejarah juga merupakan satu alat bagi memupuk integrasi kaum.Seperti yang kita maklum , Negara Malaysia merupakan sebuah negara multikaum , multiagama dan multibudaya.Bukanlah mudah menyatukan pelbagai bangsa yang bukan sahaja berbe3a dari segi warna kulit malah berlainan fahaman dan bahasa pertuturan.Sekiranya sejarah negara dipandang ringan , tidak mustahil generasi akan datang tidak akan pernah tahu bahawasanya Negara Malaysia pernah mempunyai satu peristiwa hitam pada 13 Mei 1969 yang mana bangsa cina dan bangsa melayu pantang bertemu , pasti akan adanya pertumpahan darah.Situasi ketika ini sangat darurat hingga memaksa Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu merangka sebuah rukun negara bagi mengatasi masalah yang semakin meruncing tersebut.Mahukah kita melihat peristiwa hitam itu sekali lagi menjadi duri dalam daging dalam masyarakat Malaysia ?Melalui sejarah juga , kita boleh mengetahui betapa pemimpin dahulu bersungguh sungguh menyatupadukan kaum di Malaysia dan bagaimana nenek moyang kita dahulu bersatu padu tanpa mengira kaum bagi menghalau British dari tanah air mereka.Ternyata sejarah merupakan wahana bagi membentuk perpaduan yang paling berkesan.

    Seterusnya,selain memberi pengajaran , mencetuskan semangat nasionalisme dan memupuk integrasi kaum ,sejarah juga membantu kita menghargai dan memelihara kemerdekaan serta kedaulatan negara. Proses mendapatkan kemerdekaan telah pun selesai pada1957 tetapi pengisiannya bukanlah perkara yang mudah. Lebih sukar di negara majmuk seperti Malaysia. Jika generasi muda hari ini tidak memahami sejarah pembentukan negara, apa yang telah bina akan runtuh dan musnah. Meruntuhkan sesuatu amat mudah tetapi untuk membina atau membentuk sesuatu itu yang sukar. Negara merdeka Tanah Melayu dibentuk hasil tolak ansur orang-orang Melayu untuk menerima golongan imigran Cina dan India. Pemahaman terhadap kontrak sosial ini amat penting untuk memacu Malaysia sebagai negara maju. Kegagalan memahami kontrak sosial ini mampu mendatangkan impak negatif kepada negara. Namun begitu dengan memiliki pengetahuan sejarah, rakyat Malaysia dapat memahami situasi ini dan akan menjadi bangsa yang bersyukur seterusnya bersama-sama mengembling tenaga untuk membangun dan mengukuhkan negara.Justeru , terbuktilah sejarah merupakan batu asas bagi pembentukan sesebuah bangsa dan merupakan batu lonjakan bagi perkembangan sesebuah negara.

     Akhirulkalam , Jelas kepada kita betapa pentingnya pengetahuan sejarah kepada rakyat Malaysia. Tanpa pengetahuan sejarah terutamanya mengenai pembentukan negara kita yang bermula dengan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia, akan lahirlah warganegara tanpa jati diri. Mereka ini tidak menghargai apa yang telah dimiliki pada hari ini dan lahirlah warganegara yang tidak bersyukur, lupa asal- usul, adat resam dan budaya. Tidak hairanlah jika akan lahir rakyat Malaysia yang tamak haloba dalam mencapai matlamat hidup tanpa mempedulikan halal-haram dari aspek undang-undang dan memcampakkan kontrak sosial negara ketepi demi mencapai cita-cita mereka. Hargailah apa yang telah kita kecapi hari ini. Presiden Amerika Syarikat ke-44, Barack Hussin Obama dalam ucapan sulung sebagai presiden mengungkapkan: Sejarah akan menilai kita dengan apa yang kita bina dan bukan dengan apa yang mereka runtuhkan.

No comments:

Post a Comment